Sejarah Penubuhan 4B
Cetusan idea dan ilham saudara Mohd. Kassim Shah, seorang guru di Sekolah Lelaki Methodist, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, selaku Pengerusi Ikatan Seni Budi yang bergabung dengan Persidangan Tetap Belia Daerah (PTBD) Kuala Lumpur. Pada 1964 PTBD merangkumi sebanyak 21 buah persatuan adalah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saudara Mohd Kassim Shah merupakan pemimpin yang berminat dalam hal ehwal kemasyarakatan, kebajikan dan politik tanahair, di mana beliau pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setapak, Kuala Lumpur.
PTBD diwujudkan oleh kerajaan di setiap daerah seluruh negara di mana strukturnya tertumpu dalam satu-satu daerah dengan tujuan kesemua persatuan belia menyertai PTBD di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat sumbangan dan bantuan dari JKM untuk aktivitinya. Ketika itu, pertubuhan belia Malaysia Association of Youth Council (MAYC) berperanan peringkat kebangsaan dan PTBD pula berperanan pada peringkat daerah sahaja.
Tahun 1965 berlaku satu peralihan pada semua persatuan dan pertubuhan belian di seluruh negara diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan beribu pejabat di no. 165, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ketika itu Allahyarham Dato’ Engku Mohsin Abdul Kadir merupakan Menteri Muda KBS.
Sebelum 4B, MAYC ditubuhkan untuk kepentingan penjajah agar pemimpin-pemimpin belia tidak terlibat dalam politik di mana ketika itu pemuda UMNO bersemangat memerdekakan negara. Setelah tampuk pimpinan MAYC diambilalih oleh YM Tengku Abdullah iaitu adik kepada Yang diPertuan Agong Pertama, tidak ada badan belia kebangsaan, hanya MAYC bergerak bersama gabungan belia-belia telah mendapat berbagai-nbagai faedah daripada kerajaan sebagai bukan parti siasah.
TUJUAN DAN MATLAMAT
Tujuan kewujudan MAYC adalah sebagai badan gabungan seluruh belia yang ada di seluruh negara, seperti penjelasan dari Encik Abdullah Malim Baginda bekas Penolong Pengarah Belia di KBS, kurang mendapat sambutan dari belia-belia. Lagipun, MAYC tidak mampu menarik belia-belia untuk menyertainya. Pada Ogos 1964, KBS telah diwujudkan dan pada November 1965, KBS telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Chengmai, Bangkok, Thailand bertujuan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin belia negara ini meluaskan pengetahuan dari luar negara. Seramai 29 perwakilan dari persatuan belia dari seluruh negara termasuk juga dari PTBD Kuala Lumpur yang diwakili oleh saudara Mohd Kassim Shah, saudara Ghazali Salleh dan saudara Bala Velusamy.
Program 11 hari tersebut, perwakilan dibawa melawat dan meninjau kegiatan-kegiatan pemimpin 4H Thailand di mana dari situ timbul satu kesedaran supaya pemimpin Malaysia memulakan satu aktiviti yang sama di tanah air sendiri. Cadangan ini dimaklumkan pada KBS untuk mencontohi usaha pemimpin di Thailand agar pemimpim belia di luar bandar dapat melaksanakannya.
Pada 26 Disember 1965, satu pertemuan diadakan dengan YB Engku Mhsein Abdul Kadir, Menteri Muda KBS di ibu pejabatnya, diketuai oleh Saudara Mohd. Kassim Shah, Allahyarham saudara Baharuddin Hussein, saudara Ali bin Abdul Rahman, saudara Mohd Zain bin Rashid, saudara Mohd Nor bin Haji Yusof, saudara Bala Velusamy dan turut hadir encik Abdullah Malim Baginda, pegawai KBS.
Di pertemuan tersebut, YB Menteri Muda bersetuju agar belia-belia terutamanya di luar bandar menjayakan aktiviti dalam bidang pertanian, ternakan dan sebagainya bagi mengelakkan belia-belia berhijrah ke Bandar dan tidak menumpukan kegiatan kebudayaan semata-mata sahaja. Sokongan penuh dan dorongan YB Menteri Muda KBS di mana satu perubahan perlu ditekankan terhadap belia di negara ini supaya dapat ditonjolkan bagi menceburi aktiviti-aktiviti yang mendatangkan hasil dan faedah untuk masa hadapan mereka. Terutamanya, bidang pertanian ,perternakan,perniagaan dan lain-lain di mana penglibatan belia dapat membantu kerajaan dalam pembangunan luar bandar. Belia-belia yang menganggotai PTBD diberi tugas dan tanggungjawab untuk memainkan peranan bagi menukar mentality dan cara hidup para belia supaya menjadi lebih kreatif dan berani menghadapi cabaran pada masa akan datang.
SEMINAR PEMIMPIN BELIA KEBANGSAAN
Di atas inisiatif beberapa pemimpin belia telah menggabungkan pemimpin belia bernaung di bawah satu pertubuhan baru. Justeru itu, satu seminar belia anjuran KBS di Pusat Latihan Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor telah diadakan pada 22 hingga 24 Disember, 1965. Seminar dirasmikan oleh YM Engku Mohsein Abdul Kadir, YB Menteri Muda KBS bertujuan mencari jalan bagaimana pertubuhan belia masa itu dapat memberi galakan agar lebih ramai golongan belia menyertai pertubuhan tersebut. Seminar tersebut dihadiri ramai belia dari PTBD.
Pada 23 Disember, 1965, satu pertemuan khas terdiri dari kalangan pemimpin PTBD seluruh negara bertempat di Pusat Belia Negara telah di adakan. Tujuannya bagi membincangkan untuk persetujuan sepakat dari pemimpin-pemimpin PTBD untuk mengwujudkan pertubuhan belia peringkat kebangsaan yang dipengerusikan oleh Allahyarham saudara Baharudin Hussein, turut hadir saudara Mohd Kassim Shah sebagai setiausaha. Saudara Abdullah Malim Baginda, Penolong Pegawai KBS, telah memberi pandangan sekiranya ada satu badan induk sahaja, maka tiada pilihan lain, kerana masih banyak lagi persatuan belia luar yang tidak menyertai MAYC. Untuk itu, adalah wajar diwujudkan satu lagi badan induk belia di peringkat kebangsaan bagi mempertingkatkan keupayaan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan berkesan. Saudara Mohd Kassim Shah yang mengetuai PTBD telah mengajak pemimpin belia menubuh atau menukar nama untuk jadi satu gabungan yang dianggotai ahlinya dari belia-belia PTBD, demi untuk memperluaskan aktiviti ke peringkat kebangsaan dengan menjadi badan induk bagi saingan kepada MAYC. PTBD di wakili seramai 36 pemimpin belia termasuk Majlis Belia Daerah Johor menyertai pertemuan khas tersebut.
PTBD telah sepakat digantikan kepada satu pertubuhan peringkat kebangsaan dengan jawatankuasa pengasasnya bersama saudara Abdullah Malim Baginda, Pegawai KBS ditugaskan penubuhan dan penyediaan perlembagaannya.
TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA PENGASAS (PENAJA) GERAKAN BELIA 4B
Jawatankuasa pengasas yang dipengerusikan oleh saudara Mohd Kassim Shah, merangka deraf perlembagaan pertubuhan, tujuan, matlamat, strategi, struktur dan mendaftarkan pertubuhan itu dengan pendaftar pertubuhan. Penasihat pertubuhan adalah saudara Abdullah Malim Baginda, pegawai KBS dan jawatankuasa penaja telah bertanggungjawab memberikan nama persatuan belia ini. Ia merupakan gabungan belia dari 14 buah negeri dan telah di persetujui nama pertbuhan tersebut sebagai GERAKAN BELIA 4B, telah mendapat sokongan daripada pemimpin PTBD dan KBS. Pengenalan penubuhan jawatankuasa penaja selama tiga bulan di seluruh negara. Pada 12 April 1966, Gerakan Belia 4B telah mendapat kelulusan dan bergerak dengan sah.
GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA DIISYTIHARKAN PERTUBUHAN BELIA NASIONAL
Tanggal 21 Ogos 1966 bertempat di Dewan Belia Kampong Pandan, Kuala Lumpur, upacara rasmi telah sempurnakan oleh Menteri Muda KBS, Allahyarham YM Dato’ Engku Muhsein Abdul Kadir. Seramai 150 perwakilan dari 8 buah negeri iaitu Selangor, Kedah, Perak, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor telah menghadirinya. Presiden pertama adalah saudara Mohd Kassim Shah.
SEMINAR GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA
Satu seminar Gerakan Belia 4B Malaysia telah diadakan pada 22 Januari 1968 di Maktab Pertanian Malaysia, Serdang, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh AllahyarhamTun Abdul Razak Hussein, Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu.
Seramai 1,200 orang menyertai seminar pertama anjuran Gerakan Belia 4B Malaysia, KBS dan Maktab Pertanian Serdang. Tunpuan dan tujuan utama adalah untuk menarik minat dan galakan belia 4B yang tertumpu kepada belia-belia di luar Bandar supaya bergiat di dalam bidang pertanian, ternakan dan sebagainya demi menjayakan rancangan pembangunan luar Bandar dengan pembentangan dua kertas kerja iaitu:
• PERANAN BELIA 4B
– dibentangkan oleh saudara Abdul Rashid, Pengetua Maktab Pertanian Serdang.
• PERANAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN
– dibentangkan oleh Dato’Musa Hitam, Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Saadon Zubir.
PERSIDANGAN AGUNG PERWAKILAN YANG PERTAMA DI MAKTAB KUALA KANGSAR, PERAK 1969
Persidangan Agung yang pertama Gerakan Belia 4B Malaysia, berlangsung di Maktab Kuala Kangsar, Perak dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak , dihadiri 200 orang perwakilan dari seluruh negara.
Selaku presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, saudara Mohd Kassim Shah berharap supaya pemimpin yang akan mengambil alih kepimpinan 4B akan meneruskan perjuangan yang lebih agresif untuk meningkat peranan 4B di awal penubuhannya dan mengucapkan terima kasih kepada perwakilan, KBS di atas kerjasama yang telah diberikan. Beliau mengundurkan diri selepas tiga tahun memimpin Gerakan Belia 4B Malaysia umur beliau genap 30 tahun iaitu tahap maksimum menganggotai pertubuhan itu.
Ybhg Dato’ Haji Suhaimi Kamarudin, penasihat undang-undang Negeri Pulau Pinang, telah dipilih memegang jawatan sebagai presiden kedua di persidangan Agung yang pertama pada tahun 1969.
APAKAH ITU 4B
4B ialah singkatan nama bagi cogankata Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat ini menjadi tunjang perjuangan pertubuhan ini. Merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 1965 dan dipimpin oleh saudara Mohs Kassim Shah selama tiga tahun (1965-1969). Konsep 4B sangat bersesuaian dengan agenda pertubuhan yang menumpukan dalam bidang perniagaan dan pertanianpada awal penubuhannya. Persepakatan ahli jawatankauasa pengasas pergerakan serta menyahut seruan kerajaan yang mahu membela nasib orang Melayu dalam dua bidang ini. Motto utama 4B ialah ‘ Bergerak’.
Perkataan ‘Gerakan’ diperolehi oleh saudara Mohd Kassim Shah melalui pembacaan beliau. Manakala ‘4B’ terhasil dari konsep ‘4H’ ilham dari saudara Abdullah Malim Baginda. Tujuan penting penubuhan adalah mengajar, melatih serta menggerakkan tenaga belaia di luar Bandar untuk mengusahakan sebarang peluang dalam bidang social dan ekonomi disekeliling mereka.
Tahun 1856 bermulanya kelab ‘4H’ di New York dan ia meluas keseluruh Amerika, Eropah, Amerika latin dan Asia. Konsep ‘4H’ meluas ke Asia Tenggara pada 1957 dalam Far Eastern Youth Conference di Bangkok, Thailand di atas tajaan United State Operational Mission in Thailand, iaitu sebuah badan awam Amerika. Di Malaysia, penerimaan konsep ‘4H’ melalui ‘4B’ setelah 9 tahun berlansungnya persidangan itu.
Motto pergerakan ‘4H’ bertemakan ‘To make the best better’ dengan ikrar:
‘ I pledge my head clearer thinking,
my heart to greater loyalty,
my hand to larger service,
my health to better living,
for my club, my community, and my country’
Manakala ikrar Gerakan 4B sebagaimana berikut;
Bahawa kami berikrar akan berfikiran waras,
Bersatu taat setia kepada negara,
Belajar setiap masa, bekerja untuk penghidupan yang sempurna,
Berkhidmat untuk persatuan, masyarakat dan negara.
Konsep ‘Bersatu’ meliputi bidang rohani dan jasmani iaitu satu penyatuan tenaga fizikal dan mental ayng berasakan kepada satu cita-cita yang murni dan suci. Penyatuan ini merupakan soal pokok di dalam satu perjuangan melalui tenaga dan fizikal yang bersatu padu inilah segala cita-cita dan perjuangan akan mencapai kejayaan.
‘Berkhidmat’ adalah satu cara utama bagi belia yang berkenaan untuk mencapai perjuangan membina masyarakatnya secara keseluruhan. Semangat universal yang mesti dipupuk di kalangan kaum belia agar segala cita-cita dan perjuangan akan mencapai kejayaan.
‘Bergerak’ merupakan perkataan seruan yang melambangkan semangat berkobar-kobar di kalangan belia-belia untuk memperjuangkan cita-cita juga menjadi symbol yang menunjukkan jiwa 4B yang dinamis, progresif, radikal dan menggugat. Seruan ‘Bergerak’ adalah sebagai tindakan dalam menyalurkan konsep 4B iaitu Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat.
‘Belajar’ merupakan asas yang terpenting dalam usaha untuk mencapai sesuatu cita-cita dan pelajaran adalah suatu alat terpenting untuk mendapatkan kesempurnaan. Para belia mestilah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum menjalankan sesuatu rancangan. Hanya dengan alat kelengkapan ini barulah matlamat perjuangan belia yang asasi itu dapat dihasilkan.
‘Bekerja’ adalah tindakan bagi melaksanakan sesuatu rancangan yang telah ditaja di mana konseop ini juga adalah satu cara untuk menggunakan hasil bagi mencapai tujuan hidup. Tetapi setiap pekerjaan yang hendak dikerjakan itu haruslah berdasarkan satu konsep untuk kepentingan masyarakat seluruhnya dan bukannya untuk kepentingan individu semata-mata.
Melalui konsep yang konkrit ini, tujuan para belia untuk membina negara akan tercapai. Perkataan Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat serta Bergerak yang menjadi cogankata Gerakan Belia 4B ini adalah satu idea yang tinggi. Idealistik ini amat penting dan mesti ditanamkan dalam hati sanubari belia supaya mereka tidak semata-mata memikirkan soal diri sendiri ataupun yang berhampiran dengan diri mereka, tetapi supaya mereka berpandangan meluas dan objektif dalam mengendalikan kehidupan masing-masing.
FALSAFAH PERGERAKAN BELIA 4B MALAYSIA
Selepas merdeka, falsafah pertuhuhan ini ialah untuk memperjuangkan dan menyatukan belia dalam menyahut cabaran kemerdekaan yang baru dicapai untuk menyempurnakan kemudahan prasarana dan keperluan ekonomi terutamanya bagi golongan belia Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar. Bagi golongan bukan Melayu mereka tidak didiskriminasikan untuk turut serta menikmati prasarana yang diwujudkan.
Selepas tahun 1985, falsafah pergerakan ini telah berubah menjadi satu falsafah yang selaras dengan pembangunan negara iairu untuk memimpin belia Malaysia supaya menjadi belia yang berketrampilan yang boleh memberi sumbangan dalam membangunkan negara.
Gerakan Belia 4B merupakan sebuah pertubuhan uyang memenuhi perlembagaan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Gerakan Belia 4B mempunyai tiga peringkat penubuhannya yang bermula dengan peringkat daerah, negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan yang akan mengadakan mesyuarat agung setiap tahun. Pada peringkat penubuhannya ahli belia 4b berumur di antara 18 tahun hingga 30 tahun.
TUJUAN ASAL PENUBUHAN 4B
Seawal penubuhannya, Gerakan Belia 4B adalah bertujuan memberi peluang kepada belia luar bandar untuk bergiat dalam bidang pertanian, penternakan khasnya di kampong bagi membangunkan sector pertanian di luar bandar. Disamping itu juga bertujuan untuk menyatukan belia dari kaum Melayu, Cina dan India melalui dasar pertanian serta mencari pelapis untuk menjadi pemimpin di peringkat Belia 4B dan seterusnya pertubuhan politik yang lain.
Kesedaran masyarakat Melayu dalam peristiwa 13 Mei 1969 mulai mengalami perubahan di mana banyak bantuan kerajaan disalurkan kepada orang Melayu hinggakan masyarakat bumiputera dikenali masyarakat subsidi. Paling utama ialah menjadi satu tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyatnya. Atas semangat inilah GB4B ditubuhkan agar kerajaan dapat membantu orang Melayu supaya bersikap keusahawanan dan tidak cemburu dengan kejayaan kaum lain.
Secara khusus tujuan GB4B adalah seperti berikut:
1. Menyatu, menyusun dan menggembeleng tenaga belia untuk mengambil peranan positif dalam
pembangunan negara dan untuk menegakkan masyarakat yang adil.
2. Memberi pendidikan rohani dan jasmani
3. Melatih ahli-ahli mengambil bahagian yang sepenuhnya demi kepentingan 4B, agama, bangsa dan
negara.
4. Menggalak dan menganjurkan pengkajian, latihan dan bimbingan untuk belia-belia dalam semua
bidang kemahiran dan pengetahuan.
5. Memajukan dan mengukuhkan kedudukan ekonomi ahli-ahli untuk mewujudkan masyarakat yang
lebih makmur.
6. Menaja dan memimpin usaha-usaha berkhidmat yang tulin berdasarkan rasa tanggungjawab dan
keikhlasan.
7. Menggalakkan ahli bergerak ke arah kehidupan yang sempurna yang berasaskan kehormatan diri
dan sifat berdikari dan berdisiplin.
8. Berusaha untuk memelihara, memperkembangkan dan mempertahankan keutuhan bahasa
Malaysia dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Malaysia.
9. Bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan sukarela yang sehaluan dengan kehendak-
kehendak, tujuan dan perjuangan 4B.
10. Memajukan sokongan kepada kerajaan dan badan-badan lain yang sesuai dan
11. Berusaha mempertahankan, menegak dan memperkembangkan agama Islam. Agama rasmi
negara Malaysia.
KEGIATAN GERAKAN BELIA 4B PADA PERINGKAT AWAL PENUBUHANNYA
Di awal penubuhannya, tentangan dan cemuhan terhadapnya kerana kebanyakan masyarakat tidak mempunyai keyakinan terhadap matlamat Gerakan Belia 4B yang ingin membangunkan sector pertanian agar penghijrahan belia ke bandar secara besar-besaran tidak berlaku secara mendadak. Sekitar 1960an factor kewangan menjadi persoalan utama dalam memajukan Belia 4B. Selain itu, kekurangan latihan dan kemudahan menimbulkan masalah yang besar kepada Belia 4B di mana pejabat awalnya hanya disewa atas usaha pemimpinnya dan berpindah ke no. 168, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Gabungan Persatuan Belia Daerah ini diletakkan di bawah Kementerian Kebajikan tetapi Belia 4B berjaya memberi kepercayaan serta disusuli kejayaan dan sokongan Dari Allahyarham Tuanku Abdul Rahman maka ahli Belia 4B bertambah. Objektif 4B menyakini KBS dengan pemberian kewangan sebanyak RM 1,200 hingga RM 3,000 dagi tempuh tiga bulan. Kerjasama Belia 4B dengan belia lain yang wujud seperti Angkatan Belia Islam Malaysia.
Di awal penubuhan ahlinya seramai 1,500 orang di mana saluran komunikasinya masih belum lengkap dan sukar beri publisiti kepada belia lain mengenai gerakan ini. Ajk Gerakan Belia 4B dari peringkat daerah hinggalah ke peringkat kebangsaan bertungkus lumus dan mendapat galakan daripada Allahyarham Tun Abdul Razak , Menteri Pembangunan Luar bandar ketika itu.
Kegiatan di awal penubuhannya tertumpu pada bidang agama, pertanian, kebudayaan, dan sukan. Masa lapang belia-belia luar Bandar diisi dengan kegiatan yang lebih berfaedah antaranya mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul di ibu negara selama dua tahun dan mengadakan gotong royong di jalan masuk Kuala Kubu Bharu sehingga diberi nama jalan Gerakan belia 4B antara kejayaan serta menjadi kenangan. Dasar umum kepentingan dan matlamat utama pergerakan ini adalah memajukan sosio-ekonomi di luar Bandar menerusi kegiatan pertanian.
Penyertaan para belia dalam Belia 4B menonjolkan kepimpinan seorang pemimpin yang mampu untuk membawa Gerakan Belia 4B ke arah yang lebih mencabar.
Wakil rakyat dari pemimpin pergerakan mendapatkan pembiayaan projek di mana sambutan daripada pemuda dan kerajaan memberikan galakan. Ahlinya dari bangsa Melayu meramaikan jumlah ahlinya, pemuda UMNO menjalankan kempen dari masa ke semasa.
Sepanjang tujuh tahun penubuhan GB4B berubah mengikut keadaan dengan projek sosio-ekonomi ahli-ahli melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun (PELITA) bermatlamat untuk memenuhi keperluan ahlinya. 4B sendiri mewujudkan syarikat perniagaan iaitu syarikat Kerjasama Sebaguna Gerakan 4B (SEGEMAL) serta SEGERAK (4B Kelantan).
Kebanyakan kegiatan sekarang disertai GB4B menjadikan satu nadi kepada program Rakan Muda, KBS. Tahun 1995, GB4B melalui programnya iaitu Gerak 21 yang mengandungi pelbagai fungsi seperti Gerak Kembali, Gerak Udara, Gerak Usahawan, Gerak Ilmu dan sebagainya. Contohnya, kelab penerbangan diperkenalkan di bawah Gerak Udara bagi melahirkan golongan muda mempunyai kemahiran mengendalikan pesawat ringan seterusnya menjadi seorang juruterbang professional adalah kerjasama syarikat Mofaz Air Sdn. Bhd. Berpengkalan di Langkawi. Dari segi pendidikannya, GB4B telah menubuhkan Taska dan Tadika Al-Shabab melalui pimpinan Presiden GB4B sekarang, YB Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, bertujuan memberi pendidikan asas kepada generasi baru yang berteraskan pendidikan Islam.
Assalamualaikum dan salam perpaduan, BELIA merupakan aset negara yang paling bernilai kerana mereka merupakan pewaris kepimpinan pertiwi. Sesebuah negara itu akan teguh dan kuat sekiranya golongan belianya juga teguh dan kuat. Sejajar dengan itu, golongan muda di cawangan Kampung Bukit Temiang ini telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Pertubuhan Belia 4B agar golongan belia ini dapat dipimpin dan dididik untuk menuju satu puncak hidup yang positif diarena global yang sekarang ini semakin mencabar. Belia seharusnya diberi kepercayaan untuk memimpin kerana ianya dapat mematangkan pemikiran mereka disamping membentuk jati diri dan modal insan yang berguna kepada masyarakat. Saya berasa amat berbangga diatas komitmen yang telah diberi oleh ahli-ahli belia di Cawangan Kampung Bukit Temiang ini dalam merancang dan melaksanakan aktiviti. Seharusnya momentum yang sedia ada ini harus diteruskan lagi bagi mencapai visi dan misi yang telah dirangka seterusnya dapat melahirkan generasi belia yang komited dan sentiasa maju kehadapan dalam apa jua bidang yang diceburi. Begitu juga dengan adanya sokongan dari kepimpinan diperingkat cawangan, JKKK, DUN dan Negeri, agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat dapat menyakinkan lagi golongan belia bahawa suara dan hasrat mereka agar didengar dan diperlukan bagi mencapai hal tuju negara mencapai Wawasan 2020. Sekian.
Thursday, January 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment